Travel To Sabah Kita ( Pakej KK-Kudat-KK)
http://api.whatsapp.com/send?phone0135424254
14 Tempat Menarik Di Kudat Sabah Untuk Lokasi Percutian Anda

Apakah tempat-tempat menarik di Kudat ? Selain daripada Tanjung Simpang Mengayau yang memang terkenal sebagai tempat utama yang menarik di Kudat, banyak lagi tempat-tempat menarik yang lain di sekitar Daerah Kudat. Oleh itu, pihak infosantai ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi lebih daripada 12 tempat menarik di Kudat untuk panduan kita bersama. Tempat-tempat menarik ini akan sentiasa dikemaskini jikalau terdapat tempat menarik yang baru dibuka khasnya di Daerah Kudat. Berikut merupakan tempat-tempat pelancongan yang menarik di Kudat.
1. Tanjung Simpang Mengayau
Pasti hampir semua masyarakat di Malaysia mengenali tempat ini. Sememangnya Tanjung Simpang Mengayau merupakan tempat yang “wajib” dikunjungi bila mana anda mengunjungi daerah Kudat. Amat mudah untuk sampai ke tempat ini. Ini kerana setiap simpang lengkap dengan papan penunjuk dan anda hanya perlu mengikuti petunjuk yang disediakan. Bagi anda yang pertama kali hendak pergi ke tempat ini dengan menggunakan kenderaan sendiri, anda dinasihatkan supaya memandu dalam kelajuan sederhana bagi mengelakkan anda terlepas pandang akan papan tanda yang disediakan. Terdapat 2 jalan yang biasa digunakan untuk sampai ke Tanjung Simpang Mengayau iaitu Jalan Pinangsoo Loro dan Jln Tajau Tiga Papan. Jika anda berada di Pekan Kudat, maka ada lebih baik anda menggunakan jalan Jalan Pinangsoo Loro iaitu sejauh 23 km dari Pekan Kudat.
Tanjung Simpang Mengayau juga lengkap dengan chalet dan penginapan yang berdekatan seperti Tommy Place Lodge yang lengkap dengan mini restoran serta mempunyai persekitaran pantai yang mempersonakan. Bagi anda yang bercadang untuk barbeku dan menikmati keindahan menjelang senja, maka di sini la tempat yang sesuai.
2. Industri Gong Kampung Sumangkap
Kampung Sumangkap sememangnya terkenal dengan industri pembuatan gong tradisional yang sering digunakan oleh masyarakat suku kaum di Sabah. Jika anda bercadang untuk membeli gong sebagai cendera mata atau sebagainya, maka Kampung Sumangkap merupakan tempat yang paling sesuai. Anda juga berpeluang untuk melihat bagaimana gong dihasilkan oleh penduduk kampung di sini. Tempat ini juga sangat menarik dimana anda boleh melihat pelbagai jenis gong yang dijual dan dipamerkan disamping mengambil gambar kenangan bersama keluarga atau rakan-rakan.
Untuk sampai ke tempat ini, anda perlu menempuh perjalanan sejauh 37 km atau kira-kira 40 minit memandu.
3. Tampat Do Aman
Tampat Do Aman merupakan tempat menarik yang menyediakan suasana flora dan fauna serta kemudahan yang paling asas. Bagi anda yang ingin merasakan suasana kampung atau separa rimba yang sunyi dan tenang, maka di sinilah tempat yang paling sesuai. Penginapan di sini adalah paling asas, murah serta unik, berkonsepkan jungle camp, diperbuat daripada kayu dan hanya mempunyai kemudahan seperti lampu, kipas dan katil. Tempat ini juga mempunyai akses ke Hutan Simpan Kudat dan kawasan pantai.
Pihak pengurusan juga menyediakan aktiviti menarik seperti mendaki, menyelam, snorkeling dan aktiviti berkayak. Jarak daripada Pekan Kudat ke Tampat Do Aman ialah lebih kurang 20 km dan tidak jauh dari Hutan Simpan Kudat serta Pantai Bak-Bak.
4. Maranjak Rungus Longhouse Lodge
Homestay Maranjak Longhouse diperbuat daripada bahan tradisional sepenuhnya seperti bambu yang dibelah dijadikan dinding dan daun nipah dijadikan sebagai atap. Rumah panjang ini dilengkapi sepenuhnya dengan gaya tradisional dengan meja makan tradisional, bilik, cahaya, serta dari segi makanan yang disajikan.
Rumah Panjang Homestay Maranjak boleh menampung kira-kira 30 hingga 40 orang pada satu masa. Di samping suasana tradisional, pelawat juga akan berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti memancing di sungai, jungle trekking, bersiar-siar di taman botani herba, menangkap ketam dan seterusnya melihat monyet.
Pengunjung juga akan dapat merasai tujuh wain tempatan yang berbeza yang disajikan menjelang makan malam. Selain pengalaman yang hebat, pelawat juga akan dilayan dengan tarian tradisional Rungus dan dipersembahkan oleh persembahan alat muzik tradisional selepas makan malam.
Di sini, pelawat juga akan dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana aksesori hiasan dibuat dan bagaimana permadani Rungus yang rumit ditenun. Untuk sampai ke lokasi ini, pengunjung perlu memandu sejauh 36 km atau kira-kira 40 minit masa pemanduan.
5. Panorama Paradise Resort
Panorama Paradise Resort merupakan salah satu tempat penginapan yang terletak di Bukit Pinotudung. Pusat penginapan ini berdekatan dengan Hutan Simpan Gunung Cochrane. Tempat yang tinggi, sejuk dan berangin merupakan kelebihan pusat penginapan ini. Anda berpeluang untuk menikmati udara yang nyaman serta pemandangan alam sekililing yang indah jika menginap di tempat ini.
Penginapan Panorama Paradise adalah berasaskan budaya dan gaya hidup desa yang aman dikelilingi dengan flora dan fauna yang pastinya memberikan satu pengalaman baru apabila anda menginap di tempat ini. Tempat penginapan berasaskan desa ini menggunakan konsep Longhouse Cottage moden. Dari Bukit Pinotodung, anda boleh menikmati pemandangan yang indah dari Marudu Bay Ocean, Lembah Marudu, The Majestic Mt Kinabalu & Croker Range View, ladang, menonton monyet dan beratus-ratus spesis burung eksotik
Selain itu anda juga berpeluang menikmati pemandangan matahari terbenam dan barbeque bersama keluarga dan rakan-rakan. Tempat ini juga menyediakan masakan tempatan yang lazat dengan layanan tradisional.
6. Pantai Tindakon Dazang
Pantai Tindakon Dazang yang terletak kira-kira 27 km daripada Pekan Kudat, Sabah. Pantai Tindakon Dazang merupakan salah satu pusat peranginan menarik yang menyediakan kemudahan seperti tempat penginapan, makanan dan aktiviti berkayak untuk pengunjung yang datang melawat.
Penginapan di Tindakon Dazang adalah berbentuk rumah panjang yang bercirikan tradisi masyarakat dari suku kaum Rungus. Tempat ini sangat sesuai untuk pengunjung yang berkeluarga dan bersama rakan-rakan. Anda boleh bersiar-siar di tepi pantai yang indah sambil mengambil gambar kenangan dan bersantai di restoran atas air sambil menikmati minuman kegemaran anda. Di sini, anda juga berpeluang untuk melihat tarian tradisional masyarakat Rungus dengan lebih dekat lagi.
7. Kudat Golf Dan Marina Resort
Kudat Golf dan Marina Resort terletak di hujung utara Borneo di Sabah. Resort ini dibina berasaskan reka bentuk etnik dengan perabot kayu yang digabungkan dengan persekitaran semula jadi untuk mewujudkan gaya rumah panjang moden yang secara tradisinya hidup oleh kumpulan etnik utama yang di Kudat, iaitu suku kaum Rungus. Kudat Golf & Marina Resort menyediakan percutian yang pasti memberikan suatu pengalaman baru bersama keluarga dan rakan-rakan. Jika anda meminati sukan golf maka luangkan masa anda untuk mencuba padang golf 18 lubang di Kudat Golf. Aktiviti lain ? menikmatipemandangan laut Sulu yang indah, bersantai di kolam renang ataupun bersiar-siar di tepi pantai.
Kudat Golf & Marina Resort menawarkan kemudahan antaranya ialah restoran, pusat kesihatan atau gym, kemudahan internet, tempat letak kereta, gelanggang tennis dan sebagainya. Jarak tempat menarik ini ke Pekan Kudat adalah lebih kurang 2 km.
8. Pantai Kelambu
Pantai Kelambu juga merupakan salah satu tempat menarik di Kudat. Walaupun kurang dikenali, Pantai Kelambu sememangnya merupakan salah satu pantai terbaik di Sabah dengan lautan akuatik yang biru dan jernih dan pasir putih yang indah yang diliputi oleh pulau-pulau yang mengagumkan.
Air laut yang jernih sanat sesuai dengan pelbagai aktiviti seperti speed boating, ski air, berenang, dan snorkeling. Suasana Pantai Kelambu yang indah merupakan tempat yang sempurna untuk piknik bersama keluarga, bersiar-siar di tepi pantai, mengutip kerang atau cengkerang siput atau menikmati matahari terbenam yang cantik.
9. Pantai Bak-Bak
Pantai Bak-Bak merupakan tempat menarik yang terdekat dari Pekan Kudat iaitu sejauh 11 km. Pantai ini merupakan salah satu tempat yang sering dilawati oleh masyarakat setempat disebabkan keindahanya yang tersendiri antaranya ialah mempunyai butiran pasir yang putih, bersih, laut yang jernih seperti cermin lutsinar. Anda boleh melihat batu-batuan, kerang dan ikan bermain-main di dasar laut.
Resort 9 Hut On A Hill merupakan tempat penginapan yang paling dekat dengan Pantai Bak-Bak. Jika anda bercadang untuk berada lebih lama di tempat menarik ini, mungkin anda perlu menginap di sini.
10. Tommy Place di Tanjung Simpang Mengayau
Tommy Place merupakan salah satu tempat penginapan yang terletak berhampiran dengan Tanjung Simpang Mengayau. Tempat ini juga disenaraikan sebagai salah satu tempat menarik di kudat kerana ianya sangat berhampiran dengan pesisiran pantai. Selain daripada tempat penginapan, terdapat juga restoran dimana anda boleh bersantai dengan meminum secawan kopi sambil menikmati pemandangan tepi laut. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini ialah snokerling, menyelam dan surfing. Sebenarnya, ada beberapa lagi tempat penginapan di sekitar Tanjung Simpang Mengayau seperti Merrimas Villa, Borneo Tip Beach Lodge dan Simpang Mengayau Chalet.
11. Ladang Madu Lebah Gombizou
Kampung Gombizou memang terkenal dengan industri penternakan lebah sejak lebih daripada 10 tahun lalu. Kelebihan tempat ini ialah anda boleh membeli madu lebah asli dengan harga yang sangat berpatutan. Anda juga berpeluang untuk melihat bagaimana madu lebah diambil tanpa disengat oleh lebah. Walaubagaimanapun, anda mesti mematuhi segala peraturan dan nasihat yang dinyatakan oleh pemandu pelancong khas yang bertugas di sana bagi mengelakkan dari disengat lebah.
Jarak daripada Pekan Kudat Ke Kampung Gombizou ialah lebih kurang 45 km.
12. Kudat Riviera
Kudat Riviera merupakan salah satu tempat penginapan yang sangat menarik dan sesuai untuk anda yang mempunyai bajet yang sedikit besar. Tempat penginapan menarik ini ini adalah berhampiran dengan Tanjung Simpang Mengayau. Kawasan resort di sini sangat indah ditumbuhi dengan pepohon penghijau dilengkapi dengan kolam renang, spa, aktiviti sukan air, pusat permainan kanak-kanak, aktiviti menyelam dan banyak lagi. Lokasi tempat ini adalah sejauh 31 km daripada pusat bandar Kudat dan mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk sampai ke destinasi.
Apa yang menarik ialah tempat ini mempunyai restoran Caviar Sky Longue yang berketinggian 900 kaki dan amat strategik untuk anda melihat keindahan pantai dan alam sekeliling. Tidak hairanlah jika tempat ini menjadi tumpuan bagi mereka yang inginkan keselesaan dan mengejar kesempurnaan.
13. Pantai Bavang Jamal
Pantai Bavang Jamal merupakan tempat pemuliharaan penyu selain mempunyai pantai yang panjang dan cantik. Tempat ini menjadi tumpuan pelancong asing disebabkan di sini, mereka boleh melihat dengan jelas lagi mengenai pemuliharaan penyu bermula daripada telur hinggalah anak penyu dilepaskan di laut. Namun begitu amatlah sukar untuk anda melihat penyu naik ke tepi pantai untuk bertelur, ini kerana penyu tersebut akan datang pada masa-masa tertentu sahaja.
14. Kalampunian Beach
Pantai Kalampunian merupakan pantai yang terletak hanya beberapa kilometer sahaja daripada Tanjung Simpang Mengayau. Pantai ini juga merupakan tempat yang menarik dan menjadi persinggahan pengunjung yang datang untuk mengunjungi Tanjung Simpang Mengayau. Tempat ini popular untuk menikmati suasana senja dan juga beriadah bersama keluarga ataupun rakan-rakan. Berikut merupakan panduan lokasi untuk anda sampai ke Pantai Kalampunian daripada Pekan Kudat.
***Pakej (KK-Kudat-KK)***
- 14 pilihan tempat-tempat yang menarik (pilih 3 tempat untuk dikunjungi)
- RM2500/trip.
- Min : 4 org/trip
- Hotel & Flight disediakan.
- 14 pilihan tempat-tempat yang menarik (pilih 3 tempat untuk dikunjungi)
- RM2500/trip.
- Min : 4 org/trip
- Hotel & Flight disediakan.
Comments
Post a Comment